JDT terus gah, rangkul piala Malaysia dan sapu bersih semua gelaran

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta\’zim (JDT) meneruskan dominasi luar biasa mereka dalam kancah bola sepak tempatan apabila muncul juara Unifi Piala Malaysia 2024/25 selepas menundukkan Sri Pahang 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kemenangan penuh bermakna itu turut melengkapkan koleksi kejuaraan domestik buat Harimau Selatan untuk dua musim berturut-turut, selain menyaksikan mereka mencipta rekod hatrik kejuaraan Piala Malaysia seperti yang pernah dilakukan oleh Kuala Lumpur (1987-1989) dan Selangor (1995-1997).

Buat rekod, ini adalah penampilan kelima berturut-turut JDT dalam pentas final kejohanan paling berprestij di negara ini, sekali gus menegaskan status mereka sebagai kuasa mutlak bola sepak Malaysia.

Bagi Sri Pahang, harapan untuk mengulangi keajaiban edisi 2014 berkecai, malah kekalahan ini juga menyaksikan Tok Gajah gagal membalas dendam atas kekalahan di peringkat separuh akhir beberapa tahun lalu. Kehilangan dua tonggak utama, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo yang digantung, nyata memberi kesan besar kepada perancangan mereka.

Aksi bermula positif untuk Sri Pahang apabila T. Saravanan meledak gol pembukaan pada minit ke-20, menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk membawa skuad kendalian Fandi Ahmad di depan menjelang separuh masa pertama.

Namun, malang menimpa Tok Gajah apabila pemain tengah mereka, Sergio Aguero, dilayangkan kad merah pada minit ke-34 selepas mengasari lawan, sekali gus memaksa mereka bertahan dengan 10 pemain.

Memasuki babak kedua, JDT meningkatkan tempo dan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Oscar Arribas dijatuhkan oleh Azrif Nazrulhaq Badrul Hisham. Bergson Da Silva, yang dinobatkan Pemain Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25, tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Tidak lama kemudian, giliran JDT pula kehilangan seorang pemain apabila Park Jun-heong dilayangkan kad merah akibat terjahan keras, menjadikan situasi kembali seimbang 10 lawan 10.

BACA JUGA:  Amad Diallo didakwa tunjuk isyarat lucah lepas United kalah di Bukit Jalil

Selepas beberapa peluang terlepas, JDT akhirnya memperoleh gol kemenangan hasil rembatan kencang Arif Aiman Hanapi di sudut kanan gawang pada minit ke-78, menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin.

Sri Pahang cuba bangkit di hujung permainan, namun pertahanan JDT kekal kukuh untuk mempertahankan kelebihan sehingga tamat masa perlawanan.

Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...