Isnin, 13 Julai 2026
spot_img
Mahkamah"Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah", Syed Saddiq tunggu keputusan...

“Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah”, Syed Saddiq tunggu keputusan muktamad esok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Allah menjelang keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya dalam kes melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dijadual diumumkan di Putrajaya esok.

Syed Saddiq berkata, selepas hampir enam tahun melalui proses perundangan, beliau tetap menghormati sistem kehakiman negara dan akan hadir ke mahkamah dengan tenang tanpa cuba mendahului keputusan yang bakal dibuat panel hakim.

“Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah.

“Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan dan melepaskan saya. Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad. Saya tidak akan mendahului mahkamah, saya hormati proses. Saya akan hadir dengan tenang,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam ini.

Menurut beliau, sepanjang berdepan prosiding mahkamah, tiada sebarang layanan istimewa diterimanya dan beliau memilih untuk mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang.

“Tiada penangguhan untuk saya, tiada jalan pintas, tiada layanan istimewa. Saya memilih mahkamah kerana di negara yang kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang, bukan kuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak akan menyesali pendiriannya mempertahankan prinsip serta suara hati walau apa jua keputusan yang bakal diumumkan.

“Kerana kepimpinan tidak diuji ketika semuanya mudah, ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan. Namun kita masih memilih jalan yang benar, bukan dendam.

“Bagi rakyat Muar dan seluruh Malaysia, jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal sebagai negara di mana undang-undang melindungi semua, kawan atau lawan, yang berkuasa atau rakyat biasa,” katanya.

“Kebenaran tidak perlukan kuasa untuk berdiri. Hasbunallah wani’mal wakil. Kepada Allah saya berserah.”

Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Julai bagi menyampaikan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq selepas prosiding sebelum ini ditangguhkan pada 30 Jun susulan seorang daripada hakim panel mengambil cuti sakit.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.

Kes itu melibatkan satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Armada berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan menyalahgunakan harta membabitkan RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000. Syed Saddiq sebelum ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu selepas rayuannya dibenarkan.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-