KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, memaklumkan pasukan peguamnya telah menghantar Surat Tuntutan (Letter of Demand atau LOD) kepada syarikat telekomunikasi Maxis susulan dakwaan kebocoran maklumat peribadinya.
Menerusi satu kenyataan di media sosial pada Rabu, Khairul Aming berkata segala urusan berkaitan kes tersebut kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan peguamnya sehingga selesai.
Menurutnya, insiden itu memberi kesan besar terhadap dirinya kerana pelbagai maklumat sulit didakwa boleh diakses dan didedahkan tanpa kebenaran.
“Sejujurnya saya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang. Maklumat telefon, sejarah pembayaran, langganan perkhidmatan sehingga nombor kad pengenalan, malah akses kepada MySara, semuanya telah dibocorkan,” katanya.
Selain menghantar LOD kepada Maxis, Khairul Aming turut memaklumkan bahawa laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Beliau juga mengesahkan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap kebocoran maklumat tersebut.
Dalam masa sama, laporan berkaitan insiden itu turut dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa MCMC akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi yang membabitkan Khairul Aming.
Sementara itu, Maxis dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden akses tanpa kebenaran terhadap akaun pelanggan berkenaan.
Menurut syarikat telekomunikasi itu, siasatan dalaman sedang dijalankan dan insiden tersebut disifatkan sebagai kes terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran, selain menegaskan tiada petunjuk bahawa pelanggan lain turut terjejas.
Kes berkenaan kini mendapat perhatian pelbagai pihak dan dijangka menjadi antara isu penting berkaitan perlindungan data peribadi serta keselamatan maklumat pelanggan di negara ini.


