Selasa, 21 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
PelbagaiBil Khairul Aming tular, Maxis mohon maaf dan kenal pasti individu bocor...

Bil Khairul Aming tular, Maxis mohon maaf dan kenal pasti individu bocor maklumat

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi Maxis tampil membuat permohonan maaf susulan penularan maklumat bil telefon peribadi milik usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, yang mengundang perhatian ramai di media sosial.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Maxis memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan dan telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam tindakan tanpa kebenaran itu.

Menurut syarikat berkenaan, semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan serta dipantau sepenuhnya, dan hasil siasatan awal mendapati kejadian itu merupakan satu insiden terpencil.

“Kami sedang menyiasat satu insiden yang tular di media sosial malam tadi berkenaan butiran akaun seorang pelanggan Maxis.
“Semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya. Hasil siasatan kami menunjukkan bahawa ini merupakan insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran.
“Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain secara lebih meluas. Kami akan menghubungi pelanggan berkenaan pagi ini berkaitan perkara tersebut,” menurut kenyataan itu.

Maxis turut memaklumkan bahawa tindakan segera sedang diambil terhadap individu yang dikaitkan dengan insiden tersebut, termasuk tindakan undang-undang.

“Kami telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden ini dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang.
“Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil telefon berjumlah RM498 sehingga talian telefon miliknya disekat akibat bayaran yang tidak mencukupi.

Individu sama turut mendakwa wang pendahuluan sebanyak RM2,000 yang dibayar oleh Khairul Aming bagi menampung penggunaan beberapa bulan tidak mencukupi selepas dikatakan berlaku pembelian digital tambahan melebihi RM400.

Susulan penularan maklumat itu, Khairul Aming tampil menuntut penjelasan daripada syarikat telekomunikasi terbabit selepas mendakwa maklumat bil telefon peribadinya telah dibocorkan oleh seorang individu di media sosial.

Insiden tersebut mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai kepentingan menjaga kerahsiaan data peribadi pelanggan serta keperluan tindakan tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan akses kepada maklumat sulit.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-