BelasungkawaSemua mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang disahkan meninggal dunia

Semua mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang disahkan meninggal dunia

MIRI – Misi membawa perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman Sarawak bertukar tragedi apabila lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang tadi.

Kesemua mangsa terdiri daripada seorang juruterbang, seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang menaiki helikopter perkhidmatan doktor udara atau Flying Doctor Service (FDS).

Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kematian kesemua lima individu berkenaan berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM.

Bagaimanapun, identiti mangsa dan butiran lanjut mengenai kejadian masih belum didedahkan setakat ini.

“Bagaimanapun, maklumat tentang kejadian dan nama mangsa yang terlibat belum dapat diperincikan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan helikopter berkenaan berlepas dari Miri bagi melaksanakan tugasan rasmi perkhidmatan doktor udara.

Menurut beliau, pesawat itu dikendalikan seorang juruterbang dengan membawa empat petugas KKM iaitu seorang pegawai perubatan, seorang PPP dan dua jururawat.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima pemberitahuan mengenai nahas membabitkan helikopter jenis BO-105 berkenaan daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.

Nahas itu sekali gus meragut nyawa keseluruhan lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan ketika menjalankan misi perkhidmatan kesihatan di Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa serta perkembangan berkaitan nahas berkenaan dijangka diumumkan pihak berkuasa selepas proses berkaitan selesai.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-