Ahad, 16 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
HiburanTiwikarma bawa K.O.I cipta kejutan, julang kejuaraan AJL40

Tiwikarma bawa K.O.I cipta kejutan, julang kejuaraan AJL40

KUALA LUMPUR – Kumpulan K.O.I mencipta kejutan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) apabila lagu Tiwikarma dinobatkan sebagai juara pada malam kemuncak acara berprestij itu di Unifi Arena, Bukit Jalil, malam Sabtu.

Kemenangan itu menyaksikan K.O.I membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi AJL40, sekali gus mengatasi sembilan finalis lain dalam persaingan edisi ke-40 yang mengangkat tema Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia.

Lebih manis, kejayaan itu turut mengangkat nama barisan pencipta dan penulis lirik lagu berkenaan, iaitu komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin, serta penulis lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.

Sebelum ini, Tiwikarma antara karya yang mencuri perhatian kerana membawa mesej tersirat mengenai solidariti terhadap rakyat Palestin.

Mya Nana pernah menjelaskan bahawa mesej tersebut menjadi antara kekuatan utama lagu berkenaan untuk dipersembahkan di pentas AJL40.

“Kekuatan lagu untuk dibawa ke pentas AJL40 adalah tanda solidariti untuk saudara kita di Gaza,” katanya sebelum ini.

Tempat kedua pula menjadi milik Aisha Retno menerusi lagu Tak Adil, yang merupakan ciptaannya bersama Radi. Aisha menerima wang tunai RM50,000 dan trofi.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Sabah Ryenald Guntabid melengkapkan kelompok tiga terbaik apabila lagu Lumangad Oku Dika menduduki tempat ketiga, sekali gus membawa pulang RM30,000. Lagu berkenaan merupakan ciptaan Ryenald sepenuhnya.

Dalam kategori Vokal Terbaik, trofi menjadi milik Marsha Milan menerusi persembahan Tangisan Seorang Pendosa, dengan hadiah wang tunai RM12,000.

Aina Abdul pula terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penghibur paling konsisten di pentas AJL apabila memenangi Persembahan Terbaik menerusi Kamu, sekali gus membawa pulang RM12,000.

Aina turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee dengan hadiah wang tunai RM50,000 serta diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.

Keputusan AJL40 dibuat sembilan anggota juri yang diketuai pengarah muzik, Datuk Acis, manakala malam kemuncak dikendalikan Naz Rahman dan Sissy Imann.

Pentas AJL40 turut diserikan persembahan nama besar termasuk Datuk Francissca Peter, Misha Omar, Syamel, Ernie Zakri, Amelina dan Ziana Zain, selain kemunculan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-