Khamis, 13 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
Nasional"Saya bukan datang nak bunuh Rocky", pemuda dakwa hanya ikut operasi

“Saya bukan datang nak bunuh Rocky”, pemuda dakwa hanya ikut operasi

SHAH ALAM – Pemuda yang terpalit dalam kekecohan operasi penangkapan anjing liar di Taman Telok Gedong Indah di sini menafikan dakwaan dirinya bertindak sebagai ‘vigilante’ atau hadir dengan niat mencederakan dan membunuh anjing dikenali sebagai Rocky.

Muhammad Shah Hizam, 24, berkata kehadirannya pada malam kejadian adalah untuk menyertai operasi bersama komuniti setempat dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Samagagah.

“Saya tidak menyokong sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan tidak hadir pada malam tersebut dengan niat untuk mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan,” katanya pada sidang akhbar #JusticeForShah, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau turut kecewa dengan kematian Rocky dan menegaskan kehadirannya dalam operasi berkenaan bukan atas tujuan memburu atau menyakiti haiwan.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, pula menegaskan dakwaan bahawa anak guamnya keluar secara bersendirian untuk memburu dan menyeksa anjing adalah tidak benar serta merupakan penyelewengan fakta.

“Operasi ini dijalankan atas seliaan MBDK dan bukannya suka-suka berkumpul dan mencari anjing liar. Ia dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai anjing yang berkeliaran tanpa kawalan dan membawa risiko terhadap keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata, peserta operasi terlebih dahulu diberikan taklimat oleh anggota MBDK berhubung kaedah menangkap anjing menggunakan peralatan gelung atau ‘loop’ sebelum operasi dimulakan.

Menurutnya, peralatan ‘loop’ yang digunakan Muhammad Shah juga bukan miliknya, sebaliknya dibekalkan pihak MBDK bagi tujuan operasi tersebut.

“Sebanyak 12 anjing berjaya ditangkap pada malam itu dan semuanya dalam keadaan hidup. Hanya satu yang kemudiannya disahkan mati iaitu Rocky,” katanya.

Mengulas kejadian membabitkan Rocky, Muhammad Rafique berkata pegawai MBDK turut berada di lokasi ketika proses tangkapan dilakukan.

Katanya, seorang wanita yang kemudiannya mendakwa dirinya pemilik Rocky tiba selepas peralatan ‘loop’ dipasang pada anjing berkenaan sebelum cuba menghalangnya daripada dibawa pergi dengan memeluk serta duduk di atas badan haiwan itu.

“Dalam keadaan itu berlaku tindakan tarik-menarik ketika peralatan ‘loop’ masih berada pada bahagian leher Rocky menyebabkan keadaan menjadi tegang dan kelam-kabut,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shah berkata berdasarkan pemerhatiannya pada malam kejadian, Rocky tidak mempunyai sebarang tanda pengenalan atau tag ketika ditangkap.

Beliau mendakwa wanita berkenaan kemudian diminta memberikan kerjasama serta maklumat berkaitan pemilikan dan lesen Rocky, namun setakat yang dilihatnya, tiada lesen dikemukakan ketika itu.

Muhammad Shah turut menegaskan beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada agensi penyiasatan dan penguatkuasaan berhubung insiden berkenaan.

Kes berkenaan mendapat perhatian susulan kematian Rocky ketika operasi penangkapan anjing liar yang mencetuskan persoalan dan reaksi orang ramai berhubung kaedah pengendalian haiwan dalam operasi penguatkuasaan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-