KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan suaminya, Ramachandran Muniandy mengakhiri perkahwinan mereka selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkembangan mengenai perceraian pasangan itu dinyatakan menerusi laman web rasmi Hannah yang memaklumkan mereka bercerai pada 2026 selepas berkahwin pada 2008.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Akhbar Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi menerusi kenyataan ringkas pada Rabu.
“Untuk makluman, iya sah cerai seperti dalam laporan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fazli meminta semua pihak memberikan ruang kepada Hannah susulan perkembangan berkenaan dan memaklumkan tiada penjelasan lanjut akan diberikan buat masa ini.
Hannah, 47, dan Ramachandran, 46, mendirikan rumah tangga pada 2008, tidak lama sebelum beliau mula bertanding dalam pilihan raya dan menceburi politik secara aktif.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shay yang dilahirkan pada 2011 dan Kayleigh pada 2013.
Laman rasmi Hannah turut merekodkan bahawa beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari University of Tasmania dan pernah berkhidmat sebagai peguam di Australia serta Malaysia sebelum memasuki arena politik.
Dalam kerjaya politik, Hannah mula mencipta nama apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya pada 2008 dan mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kedua sebelum beralih ke peringkat Parlimen pada 2018.
Beliau turut mencipta sejarah pada 2013 apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, selain menjadi individu termuda ketika itu yang mengetuai sebuah badan perundangan di Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum 2018, Hannah memenangi kerusi Parlimen Segambut dan kini menjalani penggal keduanya sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018 dan memegang jawatan itu sehingga awal 2020.
Hannah kembali menyertai pentadbiran Persekutuan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2022 sebelum memegang portfolio berkenaan sehingga 2025.
Pada Disember 2025, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dalam DAP, Hannah kini merupakan Timbalan Setiausaha Agung parti, Naib Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan serta Ahli Jawatankuasa DAP Wanita.
Setakat ini, Hannah sendiri belum mengeluarkan kenyataan terperinci mengenai perceraian berkenaan, manakala pihaknya meminta ruang diberikan susulan perkembangan tersebut.