Nasional10,000 tiket MADANI F1 Bahrain GP 'Sold Out'

10,000 tiket MADANI F1 Bahrain GP ‘Sold Out’

SEPANG – Sebanyak 10,000 tiket MADANI bagi perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) habis terjual selepas ditawarkan pada harga RM200 sekeping.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika ini belum membuat sebarang keputusan untuk menambah kuota tiket berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, KBS sedang meneliti kemungkinan menyediakan tambahan tiket MADANI sekiranya terdapat lokasi atau ruang yang bersesuaian di SIC.

“Setakat ini, belum ada penambahan dan semua 10,000 tiket MADANI yang diperuntukkan sudah habis terjual.
“Kita akan melihat sama ada terdapat tempat yang boleh dipertimbangkan untuk penambahan tiket MADANI dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran F1 GP Bahrain di Malaysia di Sepang, hari ini.

Perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila keseluruhan jualan tiket kini mencecah 85,000 keping, termasuk tiket MADANI, manakala kira-kira 27,000 lagi masih dalam tempahan.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, KBS turut membuka peluang kepada 1,000 rakyat Malaysia untuk menyertai program sukarelawan Rakan Muda bagi membantu kelancaran penganjuran F1 dan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di SIC bulan depan.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 500 sukarelawan akan ditempatkan sepanjang penganjuran F1, manakala baki 500 lagi akan membantu menjayakan MotoGP Malaysia yang dijadual berlangsung pada hujung Oktober.

Permohonan dibuka mulai hari ini, 2 September, menerusi sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Sukarelawan yang terpilih akan ditempatkan dalam empat bidang utama iaitu perkhidmatan pelanggan, pengurusan tiket dan kemasukan, perhubungan atau penyambut tetamu serta pengurusan kawasan MADANI.

Menurut Taufiq, penglibatan rakyat amat penting bagi memastikan kejayaan sesuatu acara berskala besar, selain memberi peluang kepada sukarelawan tempatan menimba pengalaman dalam industri penganjuran sukan.

“Ini peluang untuk rakyat Malaysia mendapat pengalaman menguruskan acara berskala besar, lebih-lebih lagi selepas sembilan tahun F1 tidak dianjurkan di negara ini,” katanya.

Penganjuran GP Bahrain di SIC dibuat bagi memastikan perlumbaan itu kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas ia dibatalkan pada awal musim berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-