NasionalHospital MARA untuk semua, tiada pilih pesakit ikut kaum - Asyraf Wajdi

Hospital MARA untuk semua, tiada pilih pesakit ikut kaum – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Hospital pengajar pertama yang dirancang Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, sekali gus menepis kebimbangan bahawa fasiliti berkenaan hanya dikhususkan kepada Bumiputera.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, soal latar belakang kaum tidak akan menjadi pertimbangan dalam menentukan individu yang boleh mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Ini tiada kena-mengena dengan soal kaum. Hospital ini untuk semua. Kita tidak akan memilih pesakit.

“Secara profesional, doktor tidak boleh memilih sama ada untuk merawat Bumiputera atau bukan Bumiputera. Itu bukan niat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Penjelasan itu dibuat susulan pelbagai reaksi orang ramai terhadap perancangan MARA menubuhkan hospital sendiri, termasuk kebimbangan mengenai kemungkinan akses rawatan dihadkan berdasarkan kaum atau sentimen kepartian.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan penubuhan hospital berkenaan bukan berteraskan diskriminasi pesakit, sebaliknya berpaksikan tanggungjawab kemanusiaan dan profesionalisme dalam bidang kesihatan.

Menurutnya, projek berkenaan juga merupakan langkah strategik untuk melengkapkan ekosistem pendidikan sains kesihatan MARA yang semakin berkembang, khususnya dalam menyediakan kemudahan latihan klinikal kepada pelajar.

Hospital itu dijangka menjadi platform latihan praktikal bagi penuntut tajaan MARA dalam pelbagai disiplin kritikal termasuk perubatan, farmasi, kejururawatan, fisioterapi, sains pengimejan perubatan dan psikologi klinikal.

Pada 24 Ogos lalu, MARA secara rasmi memulakan langkah ke arah penubuhan hospital pengajar pertamanya menerusi pembentukan pasukan khas bagi memperincikan pelan strategik projek berkenaan.

Asyraf Wajdi sebelum ini dilaporkan berkata, usaha tersebut bertepatan dengan perkembangan MARA yang sejak berdekad lalu melahirkan ribuan tenaga profesional dalam bidang kesihatan termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi.

Antara institusi yang memainkan peranan dalam pembangunan tenaga profesional berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).

Selain menyediakan penempatan klinikal dan latihan praktikal, hospital berkenaan turut dirancang berfungsi sebagai ‘makmal hidup’ atau living laboratory bagi memperkukuh aktiviti penyelidikan serta inovasi teknologi kesihatan.

Penubuhan hospital itu sekali gus dijangka melengkapkan ekosistem MARA melalui penggabungan kepakaran sains perubatan, kejuruteraan bioperubatan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kesihatan dalam satu rangkaian yang lebih menyeluruh.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-