KUALA LUMPUR – Hanya tiga tahun menceburi acara lompat tinggi secara serius, atlet berusia 22 tahun, Dyllon Thye Weng Ratchaga mencuri tumpuan apabila bukan sahaja meraih pingat emas, malah memperbaharui catatan peribadi dan memecahkan rekod dalam saingan yang berlangsung di laman sendiri.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Dyllon selepas melalui persiapan panjang hampir sembilan bulan sebelum turun beraksi, sekali gus membuktikan kerja kerasnya sepanjang tempoh berkenaan membuahkan hasil.
Menurut Dyllon, perasaan beraksi di gelanggang sendiri menambahkan lagi kemanisan kejayaan tersebut apabila berjaya menghasilkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.
“Saya rasa bangga dan teruja sebab dapat buat personal best untuk temasya ini. Lepas itu, dapat pecahkan rekod juga.
“Memang rasa bangga, bangga sangat sebab dapat buat dekat home ground,” katanya.
Mengimbas penglibatannya dalam acara berkenaan, Dyllon berkata dia baru memberikan tumpuan serius kepada lompat tinggi sejak tiga tahun lalu, meskipun pernah mencubanya ketika berada di bangku sekolah.
“Saya baru mula tiga tahun lepas. Masa sekolah menengah memang ada main, tapi untuk tiga temasya sahaja.
“Saya pernah mewakili Kuala Lumpur untuk Zon Pudu sekali,” katanya.
Dyllon yang mengambil jurusan Sains Sukan berkata komitmen sebagai atlet tidak mengganggu pengajiannya meskipun perlu menjalani latihan dan persediaan berbulan-bulan untuk memastikan dirinya berada pada tahap terbaik.
“Tak kacau. Okay sahaja,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai cabaran membahagikan masa antara akademik dan sukan.
Selepas kejayaan tersebut, Dyllon tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada dirinya menjelang beberapa kejohanan seterusnya dan memilih untuk memberi ruang kepada badan untuk pulih sebelum kembali menjalani latihan.
“Ada grand final lagi, lepas itu saya ada AEG. Jadi saya akan rehat betul-betul, kemudian kembali berlatih.
“Kita tengok apa yang saya boleh lakukan. Tiada tekanan,” katanya.
Dalam pada itu, Dyllon berharap pencapaiannya mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet lain untuk terus mengejar prestasi terbaik masing-masing.
“Saya harap ini dapat memberi motivasi kepada anda semua,” katanya.