KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu aspek pemulihan dan persediaan atlet mahasiswa diberi perhatian serius menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berbaki 93 hari lagi, khususnya selepas sebahagian mereka melalui jadual pertandingan padat sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, sebahagian atlet yang beraksi pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 turut mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus menyebabkan tempoh pemulihan mereka agak terhad.
Menurutnya, tempoh beberapa bulan yang masih berbaki sebelum AUG perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan atlet terpilih berada pada tahap terbaik ketika membawa cabaran negara.
“Ramai juga atlet yang terlibat dengan SUKIPT ini terlibat dengan SUKMA. Mereka belum sempat pulih sepenuhnya tetapi sudah bersaing.
“Tapi mereka tetap tunjukkan prestasi yang terbaik. Kita harap benda yang sama kita boleh lihat dalam AUG kerana ia akan jadi satu medan yang sangat menarik untuk kita tengok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.
Adam Adli berkata, KPT akan terus memantau serta membantu persediaan kontinjen negara termasuk memastikan atlet mendapat latihan mencukupi sebelum temasya berkenaan berlangsung Disember ini.
“Kita harap dalam beberapa bulan yang berbaki ini, 93 hari ini, kita boleh bagi sokongan kepada pelajar-pelajar ini.
“Di peringkat KPT, tentu sekali kita akan terus pantau dan bantu dari segi penganjuran dan juga persediaan atlet-atlet kita, insya-Allah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, KPT belum menetapkan sasaran pencapaian atau pungutan pingat kontinjen negara pada AUG kali ini.
“Sasaran kita belum letak lagi, nantilah,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, tanggungjawab Malaysia bukan hanya memastikan atlet bersedia, malah perlu mempertahankan reputasi negara sebagai penganjur temasya sukan universiti serantau itu.
“Kita kena jadi penganjur yang baik, itu tanggungjawab yang paling besar untuk memastikan bahawa seluruh AUG itu dapat berjalan dengan lancar dan dapat diingati.
“Kita harus pertahankan reputasi sebagai penganjur bagi sukan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, beberapa universiti termasuk UM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menjadi antara tuan rumah bagi AUG pada Disember nanti.
Mengulas SUKIPT 2026, Adam Adli menyifatkan penganjuran edisi ketujuh itu sebagai platform penting dalam pembangunan bakat sukan negara dengan penyertaan keseluruhan kira-kira 8,000 orang termasuk 750 sukarelawan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada UM atas kejayaan menganjurkan temasya berkenaan selain UPM yang berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan.
Menurutnya, pencapaian atlet pada edisi kali ini termasuk kejayaan memecahkan dua rekod kebangsaan membuktikan SUKIPT mempunyai potensi lebih besar sebagai medan melahirkan bakat sukan berprestasi tinggi.
“Saya harap beberapa kejayaan yang dicatat dalam SUKIPT kali ini, contohnya termasuk dua rekod kebangsaan yang dipecahkan, itu menjadi satu pemangkin.
“Dan sebagai satu bukti bahawa SUKIPT, sukan IPT ini boleh dijadikan medan yang lebih luas dalam kita membangunkan bakat sukan negara,” katanya.
