JenayahPukul kanak-kanak autistik guna 'hanger', guru taska didenda RM800

Pukul kanak-kanak autistik guna ‘hanger’, guru taska didenda RM800

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang guru taska memukul paha kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun menggunakan penyangkut baju membawa padah apabila dia didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Lenah Abdul, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa ketika berada di bawah jagaannya, hujung bulan lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan ibu kepada lima anak itu dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Lenah didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak berkenaan di sebuah taska di Taman Sentosa, kira-kira pukul 10 pagi pada 28 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika sedang memandikannya.

Kejadian terbongkar selepas bapa mangsa melihat kesan lebam pada tubuh anaknya dan meminta penjelasan daripada tertuduh sebelum membuat laporan polis.

Lenah didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Adam Rosli dalam mitigasinya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan mengambil kira pendapatan tertuduh sebanyak RM1,700 sebulan serta tanggungannya sebagai ibu kepada lima anak, termasuk seorang anak autistik.

Mahkamah turut diberitahu bahawa sebelum kejadian, mangsa didakwa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buang sebelum mencalitkannya pada dinding taska dan bertindak agresif.

Menurut peguam, tertuduh ketika itu perlu mengawasi tujuh kanak-kanak sebelum keadaan menjadi sukar dikawal.

“Tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan pada hari kejadian keadaan menjadi di luar kawalannya sehingga dia bertindak seperti dalam pertuduhan.

“Dia juga telah menyerah diri kepada polis, mengakui kesalahan, memohon maaf dan insaf. Oleh itu, kami memohon hukuman denda,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman bagaimanapun menegaskan kedudukan tertuduh sebagai guru dan penjaga meletakkan tanggungjawab terhadapnya untuk memastikan keselamatan mangsa, lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak autistik.

“Kegagalan mengawal kemarahan dan emosi menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Justeru, hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-