MARUDI – Keadaan jerebu dan lokasi nahas yang terpencil menjadi cabaran utama operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima individu dalam helikopter yang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi ketika ini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang sementara pasukan SAR dalam perjalanan ke lokasi.
Menurutnya, penggunaan helikopter bagi membawa pasukan penyelamat ke kawasan berkenaan tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca berjerebu.
“Perkhidmatan udara menggunakan helikopter tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang oleh CAAM dari Pengkalan Udara PDRM Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lokasi kejadian juga agak terpencil dan memerlukan kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Marudi, sekali gus menyukarkan usaha untuk sampai ke kawasan nahas dengan segera.
Mohamad Zainal berkata, kejadian disahkan berlaku kira-kira pukul 3.32 petang dengan maklumat awal mendapati terdapat lima individu berada di dalam helikopter terbabit.
“Helikopter tersebut merupakan milik sebuah syarikat yang disewakan untuk memberikan perkhidmatan doktor udara di tiga lokasi dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi, Sarawak.
“Status kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Menurut beliau, pasukan SAR akan tiba di lokasi secepat mungkin manakala identiti serta butiran penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian.
Beliau pada masa sama meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan bagi memberi ruang kepada siasatan lanjut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.
CAAM memaklumkan pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) pada pukul 3.58 petang.
Ketika kejadian, helikopter terbabit sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dengan membawa lima individu termasuk juruterbang.
