NasionalUMNO kesal PH pertikai kuasa pengampunan Agong

UMNO kesal PH pertikai kuasa pengampunan Agong

KUALA LUMPUR – UMNO mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pengampunan diraja sambil menegaskan kuasa berkenaan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha PH yang didakwanya seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.

Menurutnya, kuasa berkenaan termaktub dengan jelas menerusi Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira pertimbangan politik.

“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau mendesak supaya sebarang keputusan tertentu dibuat.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu berpendirian bahawa apa sahaja keputusan yang dicapai menerusi proses sah perlu diterima dan dihormati semua pihak.

“Berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.

“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mendakwa pendirian terbaru PH menyerlahkan apa yang disifatkannya sebagai ‘warna sebenar’ gabungan berkenaan, selain menuduh PH beberapa kali meremehkan serta mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu atas kepentingan politik.

Beliau turut mendakwa tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip dan syarat yang dipersetujui dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO akan terus mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa yang diperuntukkan kepada Seri Paduka Baginda menerusi Perlembagaan.

“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-