Gaya Hidup"Nak kahwin ada duit, duit aku tak nak bayar?", wanita dakwa setahun...

“Nak kahwin ada duit, duit aku tak nak bayar?”, wanita dakwa setahun kejar lelaki beruniform tuntut hutang RM15k

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Seorang wanita mencetuskan perhatian ramai di Threads selepas mendakwa sudah hampir setahun menuntut wang berjumlah RM15,000 daripada seorang lelaki yang dikenalinya, namun masih belum menerima bayaran.

Menerusi beberapa hantaran, wanita itu meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan semula wang miliknya.

“Aku takkan takedown selagi kau tak bayar duit aku! Aku nak kau settle bayar duit aku lah! Aku cuma nak duit aku!” tulisnya.

Wanita berkenaan turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan, rekod transaksi dan dokumen yang didakwa berkaitan pertikaian tersebut, termasuk catatan mengenai pembayaran RM15,000.

Dia turut mempersoalkan dakwaan bahawa lelaki berkenaan sedang membuat persiapan untuk mendirikan rumah tangga selepas satu mesej yang dikongsikan menyebut, “Kita dah dalam preparation nikah ni ya Allah.”

Dalam hantaran lain, wanita itu berkongsi tangkap layar perbualan dengan individu yang mendakwa daripada bahagian kutipan sebuah komuniti kredit yang menyebut baki bayaran RM4,860, selain mendakwa lelaki terbabit mempunyai beberapa komitmen kewangan lain.

Beberapa rekod transaksi dengan amaun RM700, RM200, RM1,000, RM15, RM35 dan RM20 turut dipaparkan, namun tidak dapat dipastikan sama ada semuanya sebahagian daripada tuntutan RM15,000 atau urusan berasingan.

Pertikaian itu turut dilihat semakin tegang apabila tangkap layar perbualan yang dikongsikan menunjukkan individu berkenaan didakwa memberi respons seperti “kerja laa”, “byee” dan “Report laaaa” ketika wanita itu meminta wangnya dipulangkan.

Perkongsian tersebut mencetuskan reaksi besar pengguna Threads apabila hantaran itu dilihat meraih kira-kira 8,200 tanda suka, 1,400 balasan, 1,900 perkongsian semula dan 1,700 perkongsian.

Rata-rata pengguna menggesa lelaki terbabit menyelesaikan perkara berkenaan sekiranya dakwaan tersebut benar.

“Bayarlah hutang tu… jangan aniaya perempuan,” tulis seorang pengguna.

“Bayar balik duit akak ni!” kata seorang lagi.

Beberapa pengguna turut mempertikaikan transaksi dalam jumlah kecil yang dipaparkan, termasuk serendah RM15.

Setakat bahan yang dikongsikan, belum terdapat penjelasan lengkap daripada lelaki terbabit berhubung dakwaan tersebut.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-