Wednesday, September 16, 2026
HomeNasionalKPM salur RM200,000 baik pulih SK Setia Alam terbakar

KPM salur RM200,000 baik pulih SK Setia Alam terbakar

KUALA LUMPUR – Keberanian guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam yang bertindak mengawal kebakaran sebuah bilik darjah sebelum pasukan bomba tiba mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Tersentuh dengan tindakan pantas warga sekolah itu, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan peruntukan RM200,000 bagi melaksanakan kerja pembaikan awal termasuk melibatkan sistem elektrikal.

“Saya cukup tersentuh melihat bagaimana guru-guru SK Setia Alam bertindak pantas membantu mengawal kebakaran yang berlaku di salah sebuah bilik darjah sementara menunggu pasukan bomba tiba.

“Terima kasih cikgu. Dalam saat keselamatan anak-anak dan sekolah menjadi taruhan, kalian memilih untuk bertindak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Fadhlina, pasukan teknikal KPM turut dihantar ke sekolah itu sehari selepas kejadian bagi menilai kerosakan dan menentukan tindakan susulan.

Beliau berkata, sementara siasatan polis dan bomba diselesaikan, KPM akan memastikan bahagian sekolah yang disahkan selamat dapat terus digunakan, manakala kerja pembaikan akan dimulakan sebaik siasatan selesai.

Langkah itu bagi membolehkan murid meneruskan pembelajaran serta kembali ke bilik darjah dalam keadaan selamat dan selesa secepat mungkin.

“Kepada cikgu-cikgu yang berdiri di barisan hadapan ketika api sedang marak, terima kasih kerana menjaga sekolah ini seperti rumah sendiri,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, sebuah bilik darjah di SK Setia Alam musnah sepenuhnya akibat kebakaran. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada murid berada di dalam kelas terbabit ketika kejadian.

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular