KUALA LUMPUR – Penyerang muda Kuala Lumpur City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli, melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024/2025 yang berlangsung malam tadi.
Anugerah berprestij yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air itu diadakan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang pemain, jurulatih, pegawai pasukan serta penyokong sepanjang musim 2024/25.
Haqimi, 22, yang beraksi di posisi penyerang, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang musim dengan beberapa penampilan cemerlang bersama KL City FC. Aksi dinamik dan ketajamannya di hadapan gol menjadikan beliau antara watak penting dalam skuad ibu kota musim ini.
Menerusi satu hantaran di laman instagramnya hari ini, Haqimi melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima Anugerah Pemain Muda Terbaik. Ia sangat bermakna buat saya. Terima kasih kepada keluarga, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan semua yang sentiasa menyokong saya sepanjang perjalanan ini. Saya akan terus bekerja keras untuk memperbaiki diri,” katanya.
Haqimi juga merupakan pemain kebangsaan yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan barisan muda harapan negara. Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bintang masa depan bola sepak Malaysia.