Selasa, 16 Jun 2026

Remaja mengaku salah ajak ibu kandung buat benda tak senonoh lepas tonton bahan lucah

BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan perbuatan tidak senonoh dan kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya.

Pengakuan itu direkodkan sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan ibunya yang berusia 43 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan sesuatu terhadapnya di sebuah rumah dalam daerah ini pada jam 5 petang, 1 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama, di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh menonton kandungan tidak sesuai di biliknya sebelum bertindak menghampiri ibunya yang ketika itu berada di bilik air.

Mangsa yang terkejut kemudian bertindak menutup diri di dalam bilik air sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kerana bimbang dengan keselamatannya.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini bagi laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta keputusan dan perintah lanjut.

Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 namun tertuduh gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com