Rabu, 24 Jun 2026
spot_img
HomeTerkiniWarga emas dikhuatiri lemas di Sungai Muar ditemui meninggal dunia

Warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Muar ditemui meninggal dunia

TANGKAK – Mayat seorang lelaki warga emas yang disyaki terjatuh ke dalam Sungai Muar berhampiran Jambatan Panchor-Gersik di sini semalam, akhirnya ditemui pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) dijalankan oleh pelbagai agensi penyelamat.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.00 pagi tadi oleh pasukan pencari, lebih kurang tiga kilometer dari lokasi kereta mangsa ditemui semalam.

\”Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan telah dibawa ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat,\” katanya.

Kes disiasat di bawah laporan kematian mengejut (Sudden Death Report – SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Semalam, MYBERITA melaporkan seorang warga emas, Mesuan Sadiken, 62, dilaporkan hilang selepas kenderaan miliknya jenis Mazda CX5 ditemui di atas jambatan dalam keadaan enjin masih hidup dan tidak berkunci.

Anak mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 8.54 pagi selepas dimaklumkan oleh orang awam bahawa kenderaan milik bapanya telah ditemui di lokasi tersebut.

Mangsa dikatakan keluar rumah seorang diri dari Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu kira-kira jam 6.00 pagi, dengan memakai baju kemeja kotak lengan pendek dan kain pelekat berwarna biru.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan mengalu-alukan maklumat daripada sesiapa yang mempunyai sebarang petunjuk berkaitan untuk menyalurkannya ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-9785222.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine