KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebanyak 100 ekor lembu bagi tujuan Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Majlis lafaz niat korban telah diadakan di Istana Negara, dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh, dan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda sendiri pagi tadi menerusi hantaran di laman facebook rasmi baginda.
Bagi menyempurnakan ibadah tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan mewakilkan kepada urusetia pelaksana korban Istana Negara untuk melaksanakan penyembelihan serta pengagihan korban bagi pihak Baginda.
Menerusi titah Baginda, daging korban akan diagihkan kepada kakitangan Istana Negara, golongan asnaf serta kumpulan B40, selaras dengan semangat keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat jelata.
“Semoga ibadah ini diterima Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Seri Paduka Baginda serta seluruh Keluarga Diraja Johor sentiasa dirahmati, diampuni dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,” doa Datuk Munir dalam majlis tersebut.

