PETALING JAYA – Umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 7 Jun 2025, bersamaan 10 Zulhijah 1446 Hijrah.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman malam ini melalui siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1446H ialah pada Khamis, 29 Mei 2025.
“Oleh itu, Hari Raya Korban ditetapkan pada 7 Jun 2025 bagi negeri-negeri seluruh Malaysia,” katanya.
Terdahulu, sesi pencerapan anak bulan Zulhijah dijalankan di 28 lokasi di seluruh negara, bagi menentukan tarikh penting dalam kalendar Islam itu.
Sebagai rekod, Majlis Raja-Raja telah memutuskan bahawa penetapan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab.

