KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti warga China yang menuntut di Singapura didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu ibu rakannya dengan melakonkan penculikan palsu bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah 5 juta Yuan (kira-kira RM2.9 juta).
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman terhadap Zhang Runbao, 23, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah ketika pertuduhan pilihan dibacakan semula dalam prosiding hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan Zhang dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan alternatif, Zhang didakwa menipu Cheng Zhiwen, iaitu ibu kepada rakannya Ye Yingxi, dengan membuat panggilan telefon dan menunjukkan video palsu menggambarkan Ye kononnya diculik.
Dalam rakaman tersebut, mangsa kelihatan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air – semuanya sebagai lakonan semata-mata untuk memperdaya Cheng supaya menyerahkan wang tebusan ke dalam satu akaun di China.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, antara jam 11.44 pagi hingga 9.15 malam pada 2 Mei lalu.
Zhang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan, memohon hukuman setimpal dijatuhkan sebagai pengajaran kerana perbuatan Zhang bukan sahaja menyusahkan ramai pihak, malah membazirkan masa dan sumber mahkamah serta polis.
Peguam Ernie Sulastri Ahmad yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan Zhang merupakan pesalah kali pertama dan telah memberi kerjasama dengan membuat pengakuan bersalah yang menjimatkan masa dan kos pihak berkuasa.
“Anak guam saya juga berhasrat menyambung pengajiannya yang dijangka tamat pada Jun 2026,” katanya.
Dalam perkembangan sama, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Ye Yingxi memohon mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya selepas ibu mangsa, Cheng, memutuskan untuk menarik balik laporan polis dan tidak mahu meneruskan kes terhadap anaknya.
Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan Ye dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.

