PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa tiada keputusan dibuat setakat ini berhubung pengganti dua jawatan menteri yang dikosongkan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Anwar, keputusan mengenai pengisian semula jawatan tersebut hanya akan dipertimbangkan selepas tempoh cuti kedua-dua menteri berkenaan tamat.
“Tidak ada (keputusan), mereka masih bercuti.
\”Tidak boleh ganti (jawatan) masa orang bercuti,” katanya secara ringkas ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Terdahulu, pada Rabu, Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi, dan Nik Nazmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
Rafizi akan meninggalkan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun 2025, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai 2025.
Kedua-dua mereka kini sedang bercuti sehingga tarikh peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan telah menerima surat permohonan cuti dan peletakan jawatan daripada kedua-dua menteri, dan Anwar telah meluluskan permohonan tersebut selepas penelitian dibuat.

