MERU – Satu lagi insiden tembakan mengejutkan orang ramai apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai ditembak oleh individu tidak dikenali di Jalan Mahang, Meru, petang tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar lewat petang itu, sekurang-kurangnya enam das tembakan dipercayai dilepaskan ke arah kenderaan terbabit, yang menembusi cermin hadapan di bahagian pemandu.
Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan kesan tembakan yang jelas kelihatan pada kenderaan berkenaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan awam.
Setakat ini, tiada laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai sebarang kecederaan mahupun motif kejadian tersebut.
Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas kejadian tembakan membabitkan dua lelaki tempatan yang maut di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur pada malam Selasa lalu.
Pihak media, termasuk MYBERITA, masih berusaha mendapatkan pengesahan dan maklum balas rasmi daripada pihak polis dan pihak berkuasa berkaitan berhubung kejadian terbaharu ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

