KUALA TERENGGANU – Terengganu terus mengukuhkan kedudukan sebagai negeri terbaik keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila mencatat Min Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.12 bagi tahun 2024, mengekalkan pencapaian terbaik kebangsaan untuk enam tahun berturut-turut.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, pencapaian itu melepasi purata kebangsaan iaitu 2.85.
“Seramai 110 calon memperoleh semua A Penuh dengan PNGK 4.00, manakala 162 calon pula mendapat semua A termasuk kombinasi A dan A-.
“Sebanyak 89.31 peratus atau 1,938 calon berjaya memperoleh prinsipal dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat negeri di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, hari ini.
Turut diumumkan, pelajar dari SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan.
Tambahnya, 34 daripada 46 sekolah menengah yang menawarkan STPM di Terengganu berjaya mencatat Min PNGK 3.00 ke atas, termasuk Sekolah Menengah Agama Maarif, SMK Bukit Sawa, SMK Paka dan SMK Imtiaz Kemaman.

