MELAKA – Seorang pencipta kandungan media sosial didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di tempat awam, tanpa alasan munasabah.
Tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, yang dikenali sebagai pempengaruh TikTok menggunakan nama melindaB, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Amirrudin Abdul Latip.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berpakaian dan berlagak seperti perempuan di dua lokasi berbeza iaitu di Bangunan A Famosa antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi serta di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam, Jalan Kota, kira-kira pukul 1.30 pagi, pada 10 Jun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM850 bagi pertuduhan pertama dan RM950 bagi pertuduhan kedua. Sekiranya gagal membayar, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara masing-masing selama satu bulan. Namun, Muhammad Hakim membayar keseluruhan denda yang dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

