KUALA LUMPUR – China dan beberapa negara lain telah menyatakan hasrat untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perkara itu dimaklumkan beliau kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
“Negara China telah pun menyatakan kemahuannya untuk menandatangani tanpa sebarang reservasi dan ada dua, tiga buah negara lain yang telah pun menghubungi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Mereka juga mahu berbincang dan meneruskan rundingan yang tertangguh sebelum ini berhubung Perjanjian SEANWFZ,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memaklumkan bahawa ASEAN telah menerima keputusan untuk memasukkan Timor-Leste sebagai anggota SEANWFZ dan perasmian rasmi akan dilakukan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
Beliau turut menekankan keperluan memperkemaskan modus operandi ASEAN dalam isu berkaitan senjata nuklear agar setiap negara anggota benar-benar memahami kepentingan kerjasama ini.
“Kita mahu supaya negara ASEAN mengadakan juga hubungan dengan blok-blok lain. Kita mahu wujudkan kesamaan dan cari jalan bersama bagaimana untuk pastikan dunia ini bebas daripada ancaman senjata nuklear,” ujar beliau.
Perjanjian SEANWFZ yang dimeterai pada 1995, bertujuan menjadikan Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, sekaligus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa.

