KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik sebagai satu bentuk penghormatan kepada barisan penggiat seni aksi tanah air.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kategori baharu itu diwujudkan bagi mengiktiraf sumbangan pelakon aksi serta tenaga produksi di sebalik babak-babak lasak yang mempertaruhkan nyawa demi merealisasikan adegan berisiko tinggi.
“Sukacita saya umumkan bahawa FFM34 bakal menyaksikan penambahan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.
Penghargaan ini khusus buat insan-insan di sebalik babak lasak. Keberanian dan profesionalisme mereka wajar diraikan,” katanya dalam sidang media pelancaran FFM34 di ibu negara hari ini.
Beliau turut memuji peningkatan ketara dalam penghasilan filem aksi tempatan yang bukan sahaja menyerlah dari aspek teknikal, malah mendapat sambutan hangat daripada penonton.
“Kejayaan filem-filem aksi kebelakangan ini menunjukkan nilai tontonan tinggi dan kualiti produksi yang semakin baik.
Kategori ini diwujudkan bagi meraikan semangat luar biasa pelakon lagak ngeri dan pasukan teknikal yang menjadi nadi adegan paling mencabar,” tambahnya.
Pemenang bagi kategori berkenaan akan menerima trofi khas berserta wang tunai RM5,000 sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen serta keberanian mereka.
Sementara itu, Pengarah FFM34, Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad memaklumkan sebanyak 30 kategori akan dipertandingkan tahun ini, dengan penyertaan dibuka bermula 8 hingga 18 Julai 2025.
“Kami menjemput semua karya tempatan yang diterbitkan antara 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025 untuk menghantar penyertaan dalam mana-mana kategori yang sesuai,” katanya.
FFM34 dijadual berlangsung pada 8 November ini bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri dan akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Dengan tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, festival kali ini meraikan kepelbagaian naratif dan keberanian dalam menembusi batas seni visual. Tema tersebut dilihat sebagai cerminan terhadap perkembangan sinema moden yang semakin seiring dengan teknologi dan realiti sosial masa kini.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).


