Kemalangan Senawang: Pemandu Proton Satria mengaku tak salah pandu secara melulu

SEREMBAN – Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1, Ahad lalu.

Tertuduh, Iskandar Abd Aris, 20, yang juga pesalah muda, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, Iskandar didakwa memandu kereta jenis Proton Satria secara melulu sehingga membahayakan orang awam kira-kira jam 2 pagi, 7 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin, mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin. Namun, peguam tertuduh, Noor Syairah Izzati Mohd Noor, merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan latar belakang tertuduh.

“Anak guam saya telah kehilangan ayah sejak 10 tahun lalu dan kini menanggung adik-beradik lain dengan pendapatan tidak menentu sebagai penghantar makanan. Ibunya pula hanya berniaga kuih dengan pendapatan sekitar RM50 hingga RM80 sehari.

“Jika jaminan sebanyak RM12,000 dikenakan, ia akan mengambil masa bertahun untuk dikumpulkan,” katanya sambil memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan lebih rendah.

Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos 2025sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta laporan sosial.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Kemalangan yang melibatkan Iskandar tular di media sosial selepas video kejadian memaparkan kereta dipandunya dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan, terbabas, dan terbalik ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Axia.

BACA JUGA:  Wanita maut motosikal dirempuh Honda City

Insiden itu menyebabkan pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Axia parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Empat penumpang lain pula hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Agong, Raja Permaisuri hargai kesabaran dan jasa guru

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan...

TARUNG: Unforgiven catat kutipan RM10.5 juta dalam seminggu tayang

KUALA LUMPUR - Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus...

Giliran Fazley Yaakob, Fariedz pula tersingkir konsert minggu keempat TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan bintang program realiti Talk To...

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...

Kes gadis ditikam 61 kali, dakwaan suspek ada kaitan polis tidak benar – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri...