JOHOR BAHRU – Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas ke dalam Sungai Pulai berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah, dalam satu insiden semasa latihan pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 10.15 pagi ketika helikopter berkenaan sedang menjalani latihan Field Training Exercise (FTX) sempena program Multilateral Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
Difahamkan, kesemua lima kru termasuk pegawai dan anggota polis yang berada dalam helikopter jenis AS355N bernombor pendaftaran 9M-PHG berjaya diselamatkan.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter tersebut telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi sebelum terhempas kurang setengah jam kemudian.
“Kelima-lima mangsa telah diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dihantar ke jeti APMM sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut,” kata CAAM.
Siasatan penuh mengenai punca insiden akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Insiden ini menarik perhatian ramai memandangkan latihan yang dijalankan melibatkan kerjasama keselamatan nuklear serantau, dengan kehadiran delegasi dari Indonesia, Thailand, dan Singapura.

