Pelajar undang-undang UM cipta nama dalam muzik indie

KUALA LUMPUR – Di sebalik kesibukan mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM), Syed Rayyan Razzaq Syed Azidi, 23, atau lebih dikenali sebagai Raygun, terus mengorak langkah dalam dunia muzik sebagai pemain gitar utama kumpulan Dukes.

Minat Rayyan terhadap muzik bermula sejak kecil, namun hanya mula bermain gitar secara serius pada usia 17 tahun.

Menurutnya, dorongan awal datang daripada keinginan untuk menarik perhatian seseorang, namun akhirnya ia menjadi satu perjalanan yang tidak dijangka.

“Saya mula main gitar agak lambat, tetapi bila dah mula, saya terus jatuh cinta dengan muzik. Sejak itu saya tak berhenti,” katanya.

Rayyan belajar bermain gitar hanya menerusi YouTube, tanpa sebarang asas teori muzik formal. Baginya, apa yang lebih penting adalah keupayaan untuk mencipta dan menyampaikan karya secara jujur.

“Saya tak pandai baca nota muzik, tapi saya tahu cukup untuk cipta lagu dan bermain dalam band. Itu sudah memadai.”

Walaupun terlibat aktif dalam muzik, Rayyan menegaskan bahawa pendidikan tetap menjadi keutamaannya. Beliau melihat muzik sebagai minat yang perlu diimbangi dengan kerjaya akademik yang stabil.

“Muzik satu risiko. Tidak semua berjaya sepenuhnya dalam industri ini. Sebab itu penting untuk ada pelan sokongan. Kalau muzik tak menjadi, saya masih ada latar belakang undang-undang.”

Keterlibatannya dalam Dukes tidak terhad kepada persembahan semata-mata. Rayyan turut bertanggungjawab mengendalikan kandungan media sosial kumpulan tersebut termasuk penghasilan video harian di TikTok.

Baginya, pengorbanan utama bukanlah dari segi kewangan, tetapi masa dan tenaga.

“Saya cuba kurangkan perbelanjaan sebanyak mungkin. Gitar dan peralatan saya pun asas sahaja. Tapi saya banyak korbankan masa – dari penggambaran muzik video hingga ke pengurusan kandungan media sosial.”

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran mengimbangi jadual akademik dan komitmen muzik bukanlah sesuatu yang mudah.

BACA JUGA:  “Kita boleh pergi jauh”, Cheng Wei percaya potensi Dukes

“Pernah kami habis rakaman muzik video jam 4 pagi, dan saya ada kelas jam 8 pagi. Ia menuntut disiplin yang tinggi.”

Walaupun Dukes sudah bernaung di bawah sebuah label dan mempunyai pengurus, mereka kini lebih selesa menguruskan hala tuju sendiri dari segi kandungan dan pemasaran.

Namun, Rayyan menyimpan impian untuk satu hari nanti memiliki pasukan profesional agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada muzik.

“Sekarang saya kena fikir pasal kandungan dan muzik serentak. Harapnya, satu hari nanti kami ada pasukan tersendiri supaya saya boleh fokus sepenuhnya pada penghasilan muzik.”

Dilahirkan pada 24 September 2002 dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Rayyan dipengaruhi oleh muzik band antarabangsa seperti The Cure, The Smiths, Pixies, Inhaler dan Arctic Monkeys. Selain muzik, beliau juga meminati fotografi, sukan dan fesyen menjadikan beliau antara wajah muda yang mewakili generasi kreatif masa kini.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...