KUALA PILAH – Tumpuan seluruh Negeri Sembilan hari ini terarah ke Istana Besar Seri Menanti apabila istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah Menteri Besar yang baharu dijadual berlangsung susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Istiadat berkenaan akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti bermula pukul 10.15 pagi, namun identiti individu yang bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar masih belum diumumkan secara rasmi.
Makluman mengenai istiadat itu telah diedarkan kepada pengamal media menerusi aplikasi WhatsApp, sekali gus menandakan proses pembentukan kerajaan negeri kini memasuki fasa terakhir.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan.
Menurut beliau, perkara itu disampaikan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Hinggap pada malam Sabtu.
“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menyerahkan ketiga-tiga nama itu atas budi bicara, perkenan serta hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripadanya sebagai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut menyerahkan warkah dan watikah secara rasmi kepada baginda selepas mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti tiga calon yang dikemukakan dengan menegaskan pengumuman mengenainya adalah hak mutlak pihak Istana.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan BN muncul sebagai parti yang memperoleh kerusi terbanyak apabila memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.


