KUALA LUMPUR – Kerajaan menyeru semua agensi serta pihak berkepentingan agar memperkukuh tekad dan usaha dalam memperbaiki ekosistem perniagaan serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting demi menjamin kemakmuran negara, meningkatkan keyakinan pelabur dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi asas utama pembangunan nasional.
“Susulan pencapaian Malaysia yang melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, daripada kedudukan ke-34 ke tangga ke-23, yakni pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun, saya menyeru pihak terbabit agar terus memperkukuh usaha memperbaiki ease of doing business di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa antara langkah mendesak yang perlu dilaksanakan ialah reformasi menyeluruh terhadap tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan awam, agar lebih cekap, telus dan berintegriti.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang turut membincangkan pelbagai cadangan pembangunan merangkumi aspek perancangan guna tanah serta Rancangan Struktur Negeri seperti termaktub di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Anwar berkata, usaha berterusan bagi memperkasa perkhidmatan kerajaan dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra pelabur akan menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan negara.

