KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan bahawa media tidak seharusnya dijadikan alat kepada mana-mana pihak yang berkepentingan politik, sebaliknya perlu diurus secara profesional dan berlandaskan etika kewartawanan.
Menurut beliau, media memainkan peranan penting sebagai tiang dalam sistem demokrasi, bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang sahih dan seimbang kepada rakyat.
\”Media ini bukan tempat untuk jadi jaguh politik. Kita kena jalankan media secara profesional, bukan ikut emosi atau tekanan luar. Kalau kita salah beri maklumat, rakyat akan buat keputusan yang salah. Itu bahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun kelima Media Mulia di sini, malam ini.
Johari turut menegaskan bahawa pengurusan media secara tidak profesional boleh memberi kesan buruk kepada golongan pekerja dan keluarga mereka.
“Bila syarikat tidak diurus secara profesional, yang jadi mangsa bukan hanya pekerja tetapi juga keluarga mereka. Kita ada tanggungjawab kepada semua,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata media perlu beroperasi dengan model perniagaan yang kukuh serta berpaksikan prinsip kewartawanan yang jujur dan beretika.
Selain itu, Johari menyuarakan kebimbangan terhadap penularan berita palsu di media sosial apabila hampir 60 peratus kandungannya tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Rakyat banyak terima maklumat dari media sosial. Tapi tanpa jenama media yang kuat dan dipercayai, mereka tak tahu mana betul atau salah. Inilah peranan penting media arus perdana menjadi sumber maklumat sahih dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pengurusan media yang profesional turut membantu membina keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan integriti negara.

