MELAKA – Seramai 475 graduan membabitkan graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan sesi I & II 2023/2024 serta sesi I 2024/2025 Politeknik Melaka (PMK) dianugerahkan diploma dalam Majlis Konvokesyen ke-22 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 2000, PMK telah melahirkan seramai 11,135 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor profesional dan teknikal di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee menzahirkan penghargaan terhadap usaha para pensyarah dan seluruh warga PMK yang telah memberi sumbangan besar dalam melahirkan tenaga mahir yang berkualiti tinggi serta seimbang dari aspek akademik dan sahsiah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengarah kepada tiga graduan cemerlang yang memenuhi kriteria kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum. Penerima anugerah tersebut juga layak dicalonkan untuk Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
Selain itu, beberapa kategori penghargaan turut disampaikan termasuk Anugerah Khas, Anugerah Projek Terbaik, serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum. Penerima anugerah menerima sijil dan wang tunai yang ditaja oleh pihak industri serta Alumni PMK.
Salah seorang tokoh inspirasi yang mencuri perhatian ialah Muhammad Idham Idrus, anak jati Mukim Balai Panjang, Melaka. Beliau yang menerima Anugerah Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah, diberi penghormatan menyampaikan ucapan mewakili para graduan pada sidang pertama.
Kisah ketabahan Muhammad Idham yang memulakan pengajian dalam keadaan kaki patah, namun tetap berjaya meraih Anugerah Dekan sejak semester pertama, menyentuh hati para hadirin. Beliau turut bekerja mencuci lori setiap malam bagi menampung keperluan diri, dan terpaksa mengambil alih tanggungjawab keluarga selepas ayahnya jatuh sakit ketika beliau berada di semester tiga.
“Pengorbanan, doa ibu, dan semangat tidak putus asa menjadikan saya siapa hari ini. Tiada kejayaan yang datang tanpa usaha dan cabaran,” katanya dalam ucapan penuh emosi yang menerima tepukan gemuruh daripada tetamu.
Majlis Konvokesyen PMK ke-22 bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, tetapi juga menjadi simbol kekuatan, semangat dan ketabahan anak-anak muda dalam mengejar impian mereka demi masa depan yang lebih cerah.

