SRG.OG gagal pertahan kejuaraan, tewas 4-1 di ‘final’ MSC 2025

KUALA LUMPUR – Hasrat pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Selangor Red Giants (SRG.OG) untuk mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan Piala Pertengahan Musim (MSC 2025) tidak kesampaian selepas tewas 1-4 kepada wakil Filipina, Team Liquid dalam aksi grand final malam tadi.

SRG.OG yang dibarisi pemain tempatan, Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) serta dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) bermula cemerlang apabila menang ‘game’ pertama dengan persembahan mantap dari Innocent yang menggunakan hero Bruno.

Bagaimanapun, rentak kemenangan itu gagal diteruskan apabila Team Liquid bangkit menyamakan kedudukan pada ‘game’ kedua yang berlangsung selama 18 minit, hasil kawalan kemas hero Harith oleh pemain utama mereka, Kiel Calvin Q. Soriano (Oheb).

Dalam ‘game’ ketiga, SRG.OG memberi tentangan sengit menerusi strategi awal yang tersusun, namun kesilapan ketika cuba mendapatkan ‘lord’ memberi ruang kepada Team Liquid untuk merampas kelebihan, dengan Oheb yang menggunakan Moskov mengesahkan kemenangan kedua buat pasukannya.

Tekanan semakin dirasai SRG.OG apabila mereka terus dihukum dalam ‘game’ keempat yang hanya berlangsung selama 10 minit. Oheb terus menampilkan aksi luar biasa dengan hero Claude, membawa Team Liquid ke kedudukan selesa 3-1.

Bermula ‘game’ kelima, tekanan tinggi jelas terpancar pada permainan SRG.OG yang cuba bangkit, namun sekali lagi Oheb tampil sebagai pemusnah harapan. Dengan menggunakan hero Granger, beliau mengetuai serangan bertali arus yang akhirnya menamatkan perlawanan dalam masa 16 minit.

Team Liquid dinobatkan juara MSC 2025 dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.7 juta), manakala SRG.OG yang muncul naib juara turut membawa pulang AS$500,000 (RM2.35 juta).

BACA JUGA:  Separuh akhir milik Pearly-Thinaah, 34 minit bukan kemenangan mudah

Walaupun gagal mempertahankan gelaran, SRG.OG tetap mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mara ke pentas akhir MSC sebanyak dua kali berturut-turut.

Semangat juang tinggi serta persembahan konsisten SRG.OG sepanjang kejohanan wajar dipuji dan menjadi inspirasi buat komuniti e-sukan tanah air untuk terus melakar pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa.

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITA
admin@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...