SHAH ALAM – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor dijangka mencipta sejarah sebagai edisi paling mesra wanita, menerusi pelbagai pembaharuan dasar yang memfokuskan kepada penyertaan dan pembangunan atlet serta pegawai wanita.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata antara pembaharuan utama ialah pelaksanaan kuota wanita dalam kalangan pegawai, sukarelawan dan kontinjen negeri.
Selain itu, acara wanita akan dikekalkan, walaupun tidak mencapai penyertaan minimum enam negeri.
“Ini adalah perubahan besar. Kita tak mahu lagi atlet wanita digugurkan hanya kerana kekurangan penyertaan seperti yang berlaku dalam edisi terdahulu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA di Shah Alam, hari ini.
Hannah turut mengakui kekangan bajet antara faktor utama yang sebelum ini menghalang penyertaan menyeluruh, namun dasar baharu ini diyakini mampu meratakan jurang penyertaan wanita dalam sukan.
Dalam mesyuarat sama, Jawatankuasa SUKMA turut bersetuju menambah dua sukan baharu ke dalam kategori sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib meningkat kepada 30 jenis.
Menurut Hannah, pemilihan dua sukan ini dibuat berdasarkan pengiktirafan antarabangsa.
“Kedua-dua sukan ini sudah dipertandingkan di Sukan Olimpik, jadi kita tidak perlu bahas panjang. Kita perlu sokong dan wujudkan konsistensi dalam pembangunan sukan kita,” katanya.
Sebanyak 34 jenis sukan akan dipertandingkan dalam SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh Selangor.
Empat sukan tambahan turut diperkenalkan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi.
Hannah turut menyeru kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi portfolio Belia dan Sukan agar semua dasar serta pelan pembangunan sukan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Pelaburan dalam pembangunan sukan hari ini akan membentuk kejayaan negara pada masa depan, termasuk ke peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik,” tegas beliau.

