Lelaki dijatuhi hukuman gantung, bunuh pekerja Bangladesh

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki, Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, 28, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh seorang warga Bangladesh, MD Ovaidul, 32, tujuh tahun lalu.

Hakim Su Tiang Joo menjatuhkan hukuman tersebut di akhir kes pembelaan selepas menilai bukti dan mempertimbangkan permohonan hukuman oleh pihak pendakwaan yang menegaskan mangsa dibunuh secara kejam.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Amier Amzar yang ketika kejadian berusia 21 tahun didapati membunuh MD Ovaidul di Sungai Kinta, kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak Tengah, pada 15 Disember 2018, kira-kira jam 8.20 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 6 Januari 2020, seramai 24 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala tertuduh menjadi satu-satunya saksi pembelaan.

Dalam penghakimannya, hakim Su Tiang Joo menyifatkan pembunuhan itu sebagai sangat kejam kerana mangsa dipukul pada kepala dan dikelar di leher sebelum mayatnya diheret ke tebing sungai dan ditenggelamkan dengan motosikal sebagai pemberat untuk menghapuskan kesan jenayah.

“Dalam erti kata lain, kematian bukan berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Saya menerima hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman mati adalah wajar,” katanya.

Hakim juga mengambil kira kenyataan impak yang diberikan oleh abang mangsa, Md Hossain Khan, yang menyatakan bahawa tertuduh adalah anak kepada majikan mangsa dan mangsa telah bekerja di situ selama empat tahun.

Menurut kenyataan impak itu, mangsa merancang untuk pulang ke Bangladesh dalam masa sebulan sebelum kejadian bagi melangsungkan perkahwinan, serta keluarganya bergantung kepada pendapatan mangsa di Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh manakala tertuduh diwakili peguam V Santhiran.

BACA JUGA:  Pemandu lori batu mengaku tak bersalah pindah lembu curi

Pada Disember 2018, mayat mangsa yang reput ditemui terapung dalam sungai dalam keadaan kaki kanan diikat dengan tali dan diikat pada motosikal jenis Modenas Kriss yang dipercayai sebagai pemberat.

Terdapat kesan kelar di leher dan dua kesan luka di belakang kepala mangsa yang bekerja di ladang lembu milik bapa tertuduh. Siasatan polis mendapati mangsa dibunuh pada 15 Disember 2018.

Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek apabila mangsa menafikan keluar makan bersama tertuduh pada hari kejadian walaupun suspek memberitahu isterinya hal tersebut.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com

TRENDING

TARUNG: Unforgiven catat kutipan RM10.5 juta dalam seminggu tayang

KUALA LUMPUR - Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus...

Giliran Fazley Yaakob, Fariedz pula tersingkir konsert minggu keempat TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan bintang program realiti Talk To...

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...

Kes gadis ditikam 61 kali, dakwaan suspek ada kaitan polis tidak benar – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri...

KJ cadang GST dikembalikan, nama ‘Madani Tax’ pun boleh

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpandangan...