Sabtu, 18 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
SemasaTak sempat balik rumah, abang maut, adik parah rempuh pokok tumbang

Tak sempat balik rumah, abang maut, adik parah rempuh pokok tumbang

MELAKA – Perjalanan dua beradik pulang ke rumah di Muar, Johor, bertukar tragedi apabila motosikal yang ditunggang salah seorang daripada mereka melanggar pokok tumbang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.04 pagi itu, Muhammad Fauzy Borhan, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian muka.

Adiknya, Muhammad Naim, 30, yang menunggang Yamaha Y15 terselamat namun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa dan adiknya dalam perjalanan dari arah Tampin menuju ke Sungai Abong, Muar, ketika kejadian berlaku.

“Setiba di lokasi, kedua-dua mangsa dipercayai tidak menyedari kewujudan pokok tumbang yang merintangi laluan lalu melanggarnya sebelum tercampak ke depan.

“Akibat kemalangan itu, si abang meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya parah,” katanya.

Menurut beliau, insiden berlaku ketika hujan renyai dengan keadaan pencahayaan yang kurang di laluan berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-