Khamis, 11 Jun 2026

Patung jadi bukti visual kecederaan Zara Qairina di Mahkamah Koroner

KOTA KINABALU – Lokasi kecederaan yang dialami pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ditunjukkan secara terperinci oleh Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menggunakan patung di Mahkamah Koroner, petang ini.

Melalui demonstrasi menggunakan patung yang dibawa pihak peguam, Dr Jessie menunjukkan kecederaan luaran dan dalaman yang dikesan pada tubuh arwah, bermula dari pergelangan kaki sehingga ke bahagian belakang kepala.

Antara kecederaan yang dikenal pasti termasuk lebam di belakang kepala, pergelangan tangan, jari dan tapak tangan kiri, belakang tangan dan siku kiri, pergelangan kaki kanan serta kaki kiri. 

Selain itu, turut dikesan kesan lebam di bahagian hadapan badan dan kecederaan dalaman pada tulang belakang.

Menurut Dr Jessie, arwah mengalami dua impak ketika jatuh. 

Impak pertama berlaku apabila kaki arwah mencecah tanah, menyebabkan kecederaan bermula dari kaki ke bahagian atas badan. 

Impak kedua pula berlaku apabila badan rebah ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan kecederaan di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala.

“Selepas itu dia rebah ke kiri badan menyebabkan impak kedua, cedera di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala,” katanya ketika menjawab soalan peguam mewakili ibu arwah, Rizwandean M Borhan, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Prosiding bermula kira-kira jam 2.10 petang itu menyaksikan Dr Jessie mengambil masa lebih setengah jam untuk menanda lokasi kecederaan pada patung sambil memberi penerangan kepada mahkamah.

Terdahulu, pihak peguam memperoleh kebenaran Koroner untuk menggunakan patung berkenaan bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai kecederaan arwah.

Mahkamah Koroner turut ditunjukkan gambar arwah ketika mula-mula ditemui terbaring tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama dengan belakang kepalanya di atas lantai simen berhampiran longkang.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com