BANGKOK – Parlimen Thailand dijadualkan mengundi bagi memilih Perdana Menteri baharu esok, susulan pemecatan Paetongtarn Shinawatra minggu lalu.
Perkembangan itu menyaksikan tumpuan terarah kepada ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, 58, yang muncul sebagai calon paling berpotensi menduduki kerusi tertinggi negara jiran itu.
Anutin, pewaris empayar kejuruteraan pembinaan dan berpengalaman luas dalam pentadbiran, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kesihatan. Beliau dikenali kerana melaksanakan dasar menghalalkan ganja untuk kegunaan rekreasi pada 2022 serta mengetuai tindak balas kerajaan ketika pandemik COVID-19.
Sokongan terbuka daripada parti pembangkang utama, termasuk Parti Rakyat, mengukuhkan peluangnya selepas beliau mendakwa berjaya menguasai 146 undi daripada parti dan sekutu, selain tambahan 143 undi daripada blok pembangkang.
Pada masa sama, parti pemerintah Pheu Thai turut memohon perkenan diraja untuk membubarkan Parlimen selepas gagal memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan. Namun, langkah itu tidak menjadi kenyataan apabila Majlis Privy Raja menolak permohonan berkenaan, sekali gus mengetepikan kemungkinan pilihan raya baharu diadakan dalam masa terdekat.
Pemilihan esok dijangka menjadi penentu arah politik Thailand, sama ada Anutin akan berjaya mengukuhkan kedudukan atau menyaksikan perundingan baharu antara parti-parti utama diteruskan.

