KOTA TINGGI – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan aksi bahaya seorang kanak-kanak menjenguk keluar dari tingkap sebuah kereta di Jalan Kota Tinggi berhampiran Muzium Kota Tinggi, yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan paparan video berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna akaun di aplikasi X, sekitar jam 1.50 hingga 2 petang tadi.
“Rakaman menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna hitam dipandu di kawasan berkenaan dengan kanak-kanak kelihatan menjenguk keluar dari tingkap.
“Polis maklum mengenai kejadian itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 49 saat memaparkan kereta sedang bergerak dengan dua kanak-kanak kecil mengeluarkan kepala dari tingkap bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Video tersebut turut menunjukkan kelajuan kenderaan pada ketika itu mencecah 85 kilometer sejam. Pemilik video yang merakam kejadian dilihat membunyikan hon dan menegur pemandu, namun tiada tindakan segera diambil.
Menurut perkongsian, pemandu kenderaan berkenaan memberi alasan bahawa isterinya sedang menjaga kedua-dua anak kecil itu di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

