PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan semua organisasi media di negara ini perlu mengutamakan etika kewartawanan serta ketepatan maklumat selepas dua syarikat media arus perdana dikenakan kompaun masing-masing RM100,000.
Menurut laporan Berita Harian, tindakan itu melibatkan Sin Chew Media Corporation Bhd yang didapati menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap, serta Sinar Karangkraf Sdn Bhd yang menyiarkan maklumat tidak tepat berhubung Ketua Polis Negara di laman Instagram rasmi mereka.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan tindakan kompaun dikenakan di bawah Seksyen 243 akta sama selepas mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara.
MCMC dalam kenyataan menegaskan, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan perpaduan negara yang mesti dipaparkan dengan penuh rasa hormat, manakala penyebaran maklumat palsu berkaitan institusi keselamatan boleh mengugat ketenteraman awam serta keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa.
“Kesahihan dan ketepatan maklumat adalah asas kepada kewartawanan yang bertanggungjawab. Sebarang kecuaian boleh menjejaskan kredibiliti media serta imej negara di mata umum,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan media arus perdana mahupun pengguna media sosial agar lebih berhati-hati dan memastikan setiap kandungan yang diterbitkan diperiksa kesahihannya, khususnya apabila melibatkan simbol rasmi negara dan institusi keselamatan.
Tindakan terbaru ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa MCMC tidak akan berkompromi dengan sebarang penerbitan yang melanggar etika, meskipun daripada organisasi media berpengaruh, demi menjaga integriti maklumat serta keyakinan masyarakat.

