PPUM berjaya laksanakan pembedahan pemindahan hati bayi kritikal

KUALA LUMPUR – Kehebatan pasukan perubatan tempatan sekali lagi terbukti apabila Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan hati ke atas seorang bayi lelaki berusia empat bulan dalam keadaan kritikal, mencipta detik bersejarah dalam dunia perubatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, memaklumkan bahawa bayi seberat 6.2 kilogram itu pada asalnya dijadualkan menjalani pembedahan pemindahan hati menggunakan penderma hidup, iaitu ibunya sendiri, pada 25 November lalu.

Namun, beberapa minit sebelum prosedur bermula, bayi berkenaan tiba-tiba rebah apabila jantungnya terhenti, mencetuskan situasi cemas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.

“Selama hampir satu jam, pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Nyawa bayi ini benar-benar berada di hujung tanduk,” kata beliau dalam satu hantaran rasmi.

Dengan pertimbangan klinikal yang berani dan tepat, pasukan perubatan PPUM membuat keputusan kritikal untuk meneruskan pembedahan walaupun risikonya amat tinggi. Cabaran utama termasuk pembuluh darah bayi yang terlalu halus, namun kepakaran pakar bedah, pakar bius, serta jururawat akhirnya membuahkan hasil apabila pembedahan itu berjaya dilaksanakan dengan selamat.

Menurut Dzulkefly, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi juga lambang pengorbanan seorang ibu serta kegigihan doktor yang tidak mengenal erti putus asa.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini menjadi bukti bahawa Malaysia memiliki kepakaran perubatan bertaraf dunia, sekali gus menguatkan tekad Kementerian Kesihatan untuk memacu Agenda Transplan Nasional 2026.

“Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang diperlukan kini adalah sistem sokongan kukuh dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma organ,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan PPUM dan menyifatkan mereka sebagai wira sebenar pembuka tirai 2026.

BACA JUGA:  Penuntut UM maut jatuh dari bangunan kolej kediaman

“Dan buat adik kecil ini, selamat membesar. Satu Malaysia mendoakan awak,” ujarnya.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...