KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengesahkan akan mengumumkan kedudukan serta hala tujunya dalam parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Menurut beliau, pengumuman berkenaan selari dengan komitmennya untuk terus membawa dan memperjuangkan suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti, khususnya pandangan serta aspirasi rakyat di peringkat cawangan dan bahagian.
Muhamad Akmal menegaskan, pendirian yang bakal diumumkan itu bukan didorong oleh kepentingan jawatan atau pangkat, sebaliknya berasaskan amanah serta sokongan rakyat yang menjadi tunjang kekuatan UMNO sejak sekian lama.
Katanya, Pemuda UMNO sebelum ini telah memainkan peranan menyuarakan pandangan orang awam menerusi konvensyen yang dianjurkan, dan pendekatan sama akan diteruskan pada PAU dengan membawa suara akar umbi sebagai wakil rakyat di peringkat bawah.
“Insya-Allah, kedudukan saya dalam parti dan kerajaan akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepimpinan parti perlu berani menyatakan kebenaran demi penyatuan agama dan bangsa, tanpa rasa takut akan kehilangan kedudukan atau jawatan.
“Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin, tetapi kerana rakyat di bawah. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sebenar UMNO terletak pada sokongan akar umbi yang terus setia dan berharap kepimpinan parti sentiasa mendengar suara mereka demi kelangsungan perjuangan parti.

