Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang yang didepositkan oleh empat peminjam iaitu Muhammad Zakaria Rahmat, 41, Haslinda Hanapi, 46, Mohd Izar Md Zan, 45, dan Hamidah Mohd Zain, 55, ke dalam akaun miliknya bagi tujuan pembayaran balik pinjaman kepada Mara.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat daripada pegawai kanan agensi berkenaan berhubung keraguan terhadap rekod pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan melibatkan empat skim di bawah Mara.
Siasatan mendapati mangsa diminta memasukkan bayaran pinjaman ke dalam akaun tertuduh kononnya bagi memudahkan urusan, sekali gus mengelakkan mereka hadir ke kaunter pembayaran.
Perbuatan itu terbongkar selepas tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa kemudian menerima surat tunggakan pembayaran balik pinjaman daripada agensi berkenaan.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan. Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan serta memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Dalam perkembangan berkaitan, tertuduh dijadualkan dihadapkan sekali lagi di mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi mendengar baki 41 pertuduhan lain yang berkaitan dengan kesalahan sama. – MYBERITA








