‘Trend takut bini’ gurauan keterlaluan, hakis nilai hormat keluarga – Sharnaaz Ahmad

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad menyifatkan trend kandungan ‘takut bini’ yang semakin popular di media sosial sebagai satu gurauan keterlaluan sehingga berpotensi menghakis nilai hormat dalam institusi kekeluargaan.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 41, berkata ramai pencipta kandungan masa kini dilihat semakin alpa terhadap batas apabila terlalu mengejar tontonan dan populariti.

“Dalam zaman moden ini, ramai terlupa soal sempadan ketika menghasilkan kandungan media sosial. Apa yang dipaparkan itu bukan realiti sebenar.

“Wanita dalam video tersebut mungkin bukan isteri garang seperti digambarkan, malah berkemungkinan tidak berani bersuara dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Tambah pelakon filem Blood Brothers itu, sikap berlebih-lebihan demi hiburan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap persepsi masyarakat mengenai perkahwinan.

“Ada situasi dibuat semata-mata mahu jadi kandungan. Cara bercakap dengan suami pula dibuat-buat, sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza.

“Kita tidak mahu perkara sebegini dijadikan contoh. Bila terlalu biasa ditonton, semua itu perlahan-lahan dianggap normal,” ujarnya.

Menurut Sharnaaz, kebimbangannya timbul apabila unsur yang disajikan sebagai bahan jenaka itu dilihat mampu merosakkan kefahaman masyarakat terhadap hubungan suami isteri.

“Saya bersuara kerana risau. Kalau perkara itu dianggap lucu setiap hari, institusi keluarga akan berdepan bahaya,” katanya ketika ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, baru-baru ini.

Mengulas label ‘terpaling’ yang dilemparkan segelintir pihak, duda anak satu itu menegaskan dirinya tidak terganggu dengan tuduhan yang mengaitkan pandangannya dengan kegagalan rumah tangga terdahulu.

Jelasnya, perpisahan berlaku atas dasar tiada kesefahaman, namun hubungan baik tetap terpelihara demi kematangan bersama.

“Saya langsung tidak terasa. Perceraian saya tiada kaitan dengan isu hormat antara pasangan.

“Malah sepanjang perkahwinan, Noor Nabila tidak pernah bersikap kurang ajar terhadap saya.

“Kami berpisah kerana tiada persetujuan dalam banyak perkara. Namun hingga hari ini, hubungan kami masih baik dan saling menghormati,” tegasnya.

Terdahulu, Sharnaaz mencuri perhatian netizen selepas memuat naik sebuah video menegur trend kandungan ‘takut bini’ di media sosial, sekali gus membuka perbincangan hangat mengenai batas hiburan serta maruah rumah tangga dalam era digital.

BACA JUGA:  \"Kepala dipijak demi cinta\", Meerqeen pernah jadi mangsa hubungan toksik
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...