MELAKA – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan status selaku pasukan pilihan apabila melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Melaka FC 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, sekali gus mara dengan agregat besar 8-1, malam tadi.
Sebelum perlawanan, Harimau Selatan sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas separuh akhir susulan kemenangan besar 5-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Iskandar pada 13 Februari lalu.
Beraksi di hadapan kira-kira 2,000 penonton, JDT mempamerkan aksi meyakinkan apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan pertahanan kiri, Corbin Ong. Penyerang sensasi, Jairo da Silva kemudian menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-30 untuk memastikan JDT selesa menutup babak pertama dengan dua gol.
Memasuki separuh masa kedua, Melaka FC cuba bangkit memburu jaringan pertama. Namun, sepakan deras Donghyun Do dari luar kotak penalti pada minit ke-48 sekadar melepasi palang gol. Dua minit kemudian, tuan rumah sekali lagi mencemaskan benteng JDT menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem yang menerima hantaran Donghyun, namun percubaannya hanya menggegar tiang gol.
Jairo terus menambah derita Melaka FC apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-54 sekali gus mengukuhkan kedudukan 3-0 buat pelawat dalam perlawanan tersebut.
Melaka FC akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit-minit akhir menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin hasil hantaran Che Rashid Che Halim, namun jaringan itu tidak cukup untuk mengubah keputusan keseluruhan.
JDT dijadualkan berdepan Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir yang akan berlangsung secara timbal balik pada bulan depan dan April ini.

