KUANTAN – Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA), S. Vikneswaran, 21, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan iaitu memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohammad.
Menurut kertas pertuduhan pertama, Vikneswaran didakwa mencemarkan al-Quran dengan niat untuk mengaibkan agama Islam pada pukul 1.30 petang, 22 Februari lalu, di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota. Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran jelik di media sosial dengan niat menyakiti hati orang lain, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Pendakwaan negeri, Shahrizat Ismail, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kes berprofil tinggi dan menimbulkan kegusaran masyarakat.
Melalui peguamnya, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, Vikneswaran memohon pengurangan jaminan kepada RM10,000 kerana masih menuntut dan keluarganya mempunyai pendapatan terhad. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading setiap awal bulan.
Kes akan disebut semula pada 8 April depan. Peguam tertuduh menegaskan bahawa keluarga tidak mengetahui mengenai sebarang status agama lain yang dikaitkan dengan Vikneswaran. – MYBERITA

